7 Nov 2015

KARKAS #214: AMUK

Aku memandang pintu yang tertutup rapat sambil menghisap rokok yang sudah separuh. Kepul-kepul asap aku hembus penuh gaya. 

Gadis-gadis yang lalu-lalang di hadapanku sering saja mencuri pandang ke arahku. Mungkin terpesona dengan ketampanan aku. Dengan jaket kulit, kaca mata hitam dan topi ala-ala Bruno Mars sudah tentu aku tampak menarik di mata mereka.

Aku masih lagi menghisap rokok di tangan sebelum puntung rokok aku campak ke tanah. Sesekali aku melirik pintu di hujung sana yang masih tertutup rapat.

Hujung jari membetulkan letak kaca mata hitam. Di sebalik kaca mata hitam itu, aku mula 'meneroka' isi ruang kedai itu. Di sudut hujung sana, ada sekumpulan gadis sedang bergelak ketawa dan aku perasan mereka asyik-asyik mencuri pandang ke arah aku.

Bukan aku nak perasan, tapi itu adalah hakikat. Susah jadi jejaka kacak dan bergaya ni. Aku sengaja melambaikan tanganku ke arah mereka dan aku lihat mereka tergedik-gedik di tempat mereka sambil menyorokkan muka mereka. Malu la tu. 

Sekali lagi aku melarikan pandanganku ke arah pintu yang masih tertutup. Hm. Pandanganku beralih pula pada jam di tangan. 30 minit. Lama lagi ke?

Aku menarik nafas dalam-dalam. Tak pernah seumur hidup aku terpaksa menunggu selama ni. TIGA PULUH MINIT! Ingat sekejap ke? 

Aku dah mula hilang sabar tapi aku perlu berfikir secara waras. Tak apa. Kita tunggu lagi untuk 5 minit. Dalam keadaan sekarang, aku kena banyak bersabar. Tak boleh terburu-buru.

Aku mengetuk perlahan permukaan meja kayu itu. Aku perhatikan pergerakan jarum jam di tangan. Hm, aku kena sabar. Sebagai lelaki yang bergaya aku perlu tanam sifat sabar.

Cukup 5 minit.

Ah, aku dah tak boleh sabar lagi. Aku bingkas bangun dari kerusi dan laju aku berjalan ke arah pintu yang tertutup. Pedulilah kalau ada yang ketawa atau memandang sinis ke arahku. Aku dah tak boleh sabar ni. Sabar manusia pun ada batasnya.

"WOI! LAMA LAGI KE DEKAT DALAM TU?" Pekikku sambil mengetuk kasar pintu yang tandas yang sudah 35 minit aku berharap akan terbuka.

***

No comments:

Post a Comment