7 Nov 2015

KARKAS #204: JASAD UNTUK DIJUAL

Aku memicit-micit kepala yang tidak sakit, tapi sebenarnya hati yang mula gundah. Buku akaun tidak menunjukkan sebarang keuntungan yang ada cuma rugi.

Aku bergerak ke bilik penyimpanan produk, secara fizikalnya kesemua produkku adalah paling terbaik, tiada cacat cela terapi entah kenapa jualan masih merudum.

"Mungkin kita perlu buat promosi atau buat jualan murah." Sapa pembantuku dari belakang.

"Abang rasa produk kita ambil ini tak berkualiti, mungkin kita patut cari pembekal lain. Kita kena ada produk yang lebih elok dari segi fizikal, mental dan yang penting dalaman mesti baik." 

Aku memeriksa semua rekod produk yang aku ada, hanya tiga puluh peratus saja yang betul-betul melepasi piawaian. Aku buntu.

"Esok kita buat jualan murah, abang dah asingkan yang mana produk kita yang elok, yang tak berkualiti tu kita jual. Jual sampai tujuh puluh peratus dari harga asal. Tak apalah rugi sikit." 

"Tapi..."

"Dahlah, jangan tapi-tapi lagi. Fikir secara logik, kalau kau nanti disuruh memilih jasad kau yang baru untuk kelahiran kedua takkan kau nak beli jasad yang ada sakit mental, yang buah pinggangnya rosak atau yang jantung berlubang? Tentu tidakkah? Kelahiran kedua ini satu-satunya peluang untuk mereka menjadi lebih baik dari sebelumnya."

Bebelan aku telah mendiamkan pembantuku.

"Jangan membatu, nak tampal kertas ini kat luar."

'JASAD UNTUK DIJUAL, DISKAUN SEHINGGA 70 %'

***

No comments:

Post a Comment