6 Nov 2015

KARKAS #199: ARMAN

Selepas tiga minggu Arman mengurung dirinya di dalam rumah, akhirnya dia mengambil keputusan untuk memulihkan semangat dengan bersiar-siar di taman KLCC.

Arman mengenakan t-shirt kuning, berseluar biru dan berkaca mata hitam. Lari dari warna kesukarannya iaitu hitam, menurut fikirannya apabila dia memakai baju warna hitam kecendurungan untuk dia murung itu tinggi.

Arman ke KLCC menggunakan LRT sahaja, mudah dan cepat tambahan pula dia mahu mencuci mata dengan melihat karenah orang ramai yang menaiki train tersebut.

Sampai saja di stesen KLCC, Arman tidak turun dia hanya diam membatu melihat semua penumpang berpusu-pusu keluar dari perut train. Kurang lebih enam minit pintu train ditutup dan Arman masih duduk di dalamnya cuma bezanya hanya Arman seorang sahaja di dalamnya.

Arman melontarkan pandangan matanya ke luar cermin, baginya tiada apa yang aneh cuma dia bertuah kerana tidak perlu berhimpit-himpit lagi.

Ayunan train itu lebih kuat dari biasa barangkali mungkin kerana tiada orang maka train lebih ringan, ini yang ditelah oleh Arman apabila train itu bergerak lebih laju dari tadi.

Tiba-tiba train berhenti mengejut di satu stesen yang agak pelik, Arman cuba menjenguk mencari-cari nama stesen itu tetapi hampa. Muncul seorang perempuan yang sarat mengandung di pintu. Mukanya berpeluh tetapi senyum yang tergaris di bibirnya sangat cantik.

Perempuan mengandung itu, duduk di hadapan Arman dan seraya tu bau wangi memenuhi segenap perut train. Arman cuak, mahu berlari ke pintu, pintu sudah tertutup maka bermulalah perjalanan Arman dan perempuan yang sarat mengandung itu.

Kelajuan train itu semakin meningkat, sepertinya train itu akan bergerak dan tidak mahu berhenti. Arman mula risau, jantungnya berdegup kencang. Perempuan yang sarat itu juga pelik tingkah lakunya, sedari tadi mengusap perutnya dan berpeluh-peluh.

Tiba-tiba perempuan itu menjerit, kesakitan yang dirasa sudah tidak dapat di bendungnya. Arman terkejut, langsung panik. Otaknya tidak boleh lagi berfikir dan dia hanya mampu melihat saja perempuan itu mengerang kesakitan.

"Tolong akak, dik. Akak nak duduk di lantai sambil bersandar. Dah tak tahan sangat ni. Masanya dah sampai."

Arman diam, matanya juga langsung tidak berkelip.

"Dik, tolonglah..."

Arman tersentak, bingkas bangun mendapatkan perempuan itu. Selepas semua kemahuan perempuan itu dilaksanakan, Arman duduk di hadapannya. 

"Macam mana ni? Train ni tak berhenti, tak ada orang pula tu. Siapa nak bantu akak?"Arman bersuara.

"Kaulah dik." Perempuan itu memegang tangan Arman lalu di letakkan di atas perutnya. Arman merasakan ada gerakan. Pergerakan terlalu pantas sehinggakan Arman merasa geli dan cepat-cepat menarik tangannya kembali.

"Saya tak nak!" Arman bangun. Dia berlari ke setiap gerabak. Pintu dan tingkap ditendang dan ditumbuk tetapi keputusan gagal.

Perempuan yang sarat tadi makin kuat menjerit. Bajunya sudah lenjun dengan peluh. Atas rasa kasihan Arman mendekati.

"Saya tak tahu nak buat apa!" Arman sudah tidak keruan. Perempuan yang sarat itu terus melalak hingga timbul urat. Matanya terbeliak dan perutnya makin bulat dan membesar.

Pom! Satu letupan kedengaran, bau busuk menusuk hidung, tiada lagi kedengaran suara perempuan menjerit kesakitan.

Habis seluruh badan Arman dipenuhi lendir yang berwarna kuning kehijauan. Arman tidak dapat menahan rasa loya lantas muntah. 

Apabila dia memandang sekeliling, ada benda lain yang di bawa bersama dengan lendir itu. Sejenis binatang berwarna hitam dan panjang.

"Lintah! Perempuan yang sarat tadi mengandungkan lintah!"

Benar sangkaan Arman, perempuan tadi sudah mati dengan perut yang pecah dah dipenuhi ratusan lintah.

Kini lintah-lintah itu mahukan darah Arman untuk hidup.

***

No comments:

Post a Comment